Aluan YDP Desasiswa Tekun Sidang Akademik 2009/2010

                                                                                                                  

 

MOHAMAD HAFIZ B MUHAMMED MARZUKHI

YANG DI-PERTUA
 

DESASISWA TEKUN

MPDT 09/10 : ANJAKAN PARADIGMA YANG SETERUSNYA

Assalamualaikum dan salam sejahtera,


Sebagai permulaan, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengurus laman web Desasiswa Tekun dan juga Exco-exco Teknologi dan Multimedia atas tenaga dan idea yang telah dicurahkan. Diharap dengan kewujudan laman ini, penghuni Desasiswa Tekun dapat merapatkan hubungan dengan Majlis Penghuni Desasiswa Tekun (MPDT) melalui penyampaian komen dan pendapat yang membina demi kecemerlangan kita semua.


Seterusnya, kami selaku organisasi yang telah diberi mandat untuk menjaga kebajikan setiap penghuni akan berusaha dengan sepenuh tenaga untuk menjaga kebajikan saudara dan saudari. Hal ini kerana kami amat mementingkan kebajikan penghuni selari dengan aspirasi MPDT sidang ini iaitu “ MPD adalah penghuni, penghuni adalah MPD”. Perkara ini melambangkan hasrat MPDT untuk bersama-sama penghuni, saling bantu-membantu untuk membawa cahaya kecemerlangan kepada desasiswa tercinta ini. Laman web ini juga dijadikan sebagai satu medium untuk pIhak MPDT mengemaskini dan memaklumkan segala perkembangan aktiviti dan hebahan serta maklumat yang penting kepada penghuni.

Setakat ini, MPDT sudah mula melakukan perancangan dan memantau beberapa masalah yang perlu diselesaikan seperti masalah aduan dan juga kerosakan prasarana yang disediakan. Insyaallah, kami sedang berusaha dengan sebaik mungkin untuk mempertingkatkan kualiti sistem dan menyelesaikan segala masalah yang melibatkan prasarana.


Visi MPDT sidang ini adalah “Anjakan Paradigma Yang Seterusnya”. Jika dihayati visi ini dapat disimpulkan bahawa MPDT pada tahun ini akan melakukan beberapa perubahan agar kita dapat bersama-sama membawa desasiswa ini ke peringkat yang seterusnya. Usaha sudah dimulakan untuk menubuhkan Kelab Sukan Tekun, agar kita dapat mengumpulkan dan mengasah bakat-bakat penghuni Tekun menjelang SUKAD dan TOT. Selain itu, kami juga sudah menubuhkan Kelab Debat dan Pantun Tekun serta Editorial Tekun. Kesemua kelab-kelab ini ditubuhkan adalah untuk mengasah soft skill pelajar disamping menyemai sifat kepimpinan. Kami juga masih mengamalkan dasar terbuka iaitu mana-mana penghuni yang mempunyai idea yang baru dijemput untuk memberi cadangan kepada MPDT untuk dipertimbangkan oleh kami.


Akhir kata, saya mewakili semua ahli MPDT berharap agar kami mendapat kerjasama dan sokongan penuh anda semua dalam perjuangan kami untuk merealisasikan segala yang telah dirancang. Insyaallah, berbekalkan semangat dan kerjasama serta komitmen daripada semua penghuni Desasiswa Tekun MPDT 09/10 bersedia untuk anjakan paradigma yang seterusnya. Bersama kita membawa Tekun ke puncak kegemilangan. Segala apa yang terkurang atau terlebih, maaf jua kami pohonkan.

Sekian, terima kasih.