SUKAD 2010

Aktiviti

Tekun, 24 Oktober 2010: SUKAD 2010 Fasa Pertama telah berlangsung dengan jayanya di Kampus Induk. Desasiswa Tekun telah mempamerkan prestasi yang memberangsangkan apabila berjaya menjadi pesaing yang digeruni lawan dalam beberapa acara yang dipertandingkan. Walaupun kebanyakan keputusan tidak menyebelahi Desasiswa Tekun tetapi prestasi keseluruhan cukup memuaskan.

Desasiswa Tekun telah berjaya menjadi johan dalam acara hoki kategori lelaki apabila pasukan berjersi serba merah itu berjaya menundukkan Desasiswa Restu dalam suatu perlawanan akhir yang sengit. Pasukan bola tampar kategori wanita Desasiswa Tekun pula berjaya ke akhir tetapi sekadar berpuas hati dengan kedudukan Naib Juara apabila tewas kepada Desasiswa Murni setelah memberi tentangan sengit di keseluruhan set perlawanan.

Dalam Fasa Pertama, minggu kedua yang berlangsung pada 23 hingga 24 Oktober 2010, Desasiswa Tekun telah merangkul gelaran Naib Juara acara Boling Padang apabila tewas kepada Desasiswa Restu. Dalam acara Bola Baling kategori lelaki dan wanita juga Desasiswa Tekun telah mempamerkan prestasi yang baik apabila berjaya ke peringkat suku akhir sebelum tewas kepada lawan masing-masing.

Semoga prestasi ini akan berterusan untuk dibawa ke Fasa Kedua yang akan berlangsung di Kampus Kesihatan dalam semester ke-2 nanti.