Majlis Penyerahan Amanat SUKAD Desasiswa Tekun 2012/2013

 majlispenyerahanamanat

Pada 27 Februari 2013 yang lepas, Majlis Penghuni Desasiswa Tekun telah menganjurkan Majlis Penyerahan Amanat dan Bendera Tekun ke Sukad (Sukan Antara Desasiswa) 2012/2013 di Foyer Desasiswa Tekun. Acara yang bermula pada jam 9.00 malam itu bertujuan untuk menaikkan semangat dan motivasi para atlet Desasiswa Tekun ke Sukad sidang ini.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa, kemudian disusuli oleh ucapan Pengarah Projek Sukad fasa 1 dan 2 iaitu saudari Siti Zurianah Binti Ismail. Pengarah projek menasihati atlet-atlet Tekun untuk terus berusaha mencipta kemenangan serta mengucapkan tahniah kepada mereka atas keberanian membawa nama Desasiswa Tekun di Sukad sidang ini.

Majlis ini juga turut dihadiri oleh Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM iaitu Saudara Muhammad 'Ammar bin Mohd Aziz. Kehadiran YDP MPP USM ke majlis ini menunjukkan komitkmen dan sokongan moral beliau kepada para atlet Desasiswa Tekun sekaligus mampu menaikkan motivasi para atlet. Majlis diteruskan lagi dengan ucapan Yang Dipertua MPD Tekun iaitu Saudara Mohamad Shafiq Bin Kamaruddin. Beliau mengharapkan agar para atlet dapat memberikan kerjasama kepada pengurus pasukan untuk memastikan sasaran 25 pingat emas akan dapat dicapai serta berjanji kebajikan para atlet sepanjang Sukad sidang ini akan di jaga.

Kemudian,majlis disusuli oleh ucapan oleh Penggawa Desasiswa Tekun iaitu Dr. Nazarudin Zainun. Dalam ucapannya, beliau menegaskan kepada para atlet bahawa menang kalah adalah adat pertandingan dan para atlet Tekun seharusnya berbangga kerana dapat mewakili sebuah Desasiswa terbesar di USM ke Sukad kali ini. Seterusnya disusuli oleh ucapan Penolong Penggawa Desasiswa Tekun iaitu Dr. Hasanah Abd Khafidz. Dalam ucapannya beliau menegaskan para atlet haruslah berpegang teguh kepada satu pepatah arab iaitu “Manjadda, wajadda” yang membawa maksud “ Sesiapa Yang Berusaha Pasti Akan Berjaya”.

Seterusnya, tayangan video oleh bahagian teknologi dan multimedia yang memperkenalkan barisan pengurus pasukan Sukad sidang ini. Tayangan video itu juga berjaya menyuntik motivasi kepada atlet-atlet yang hadir pada malam itu. Majlis diteruskan dengan upacara perasmian dan penyerahan bendera Tekun yang dirasmikan oleh Dr. Nazarudin. Diharapkan agar atlet Tekun dapat berusaha bersungguh-sungguh dalam Sukad sidang 2012/2013 dan diharapkan agar sasaran 25 pingat emas akan dapat dicapai. Majlis diakhiri dengan upacara bacaan ikrar semangat Sukad yang dipimpin oleh Saudara Mohd Hazim Bin Mohd Radzi. Majlis pada malam itu juga diserikan dengan upacara penyampaian hadiah dan trofi kepada para pemenang Sukan Malam (SUKMA) Tekun oleh Penggawa Desasiswa Tekun iaitu Dr. Nazarudin Zainun.

Sesungguhnya, dalam usaha untuk melestarikan aspek sosial dalam kalangan penghuni Desasiswa Tekun, Majlis penghuni Desasiswa Tekun sangat optimis terhadap para atlet Tekun. Kami percaya dan yakin bahawa dengan usaha yang telah diberikan oleh mereka Tekun mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama desasiswa desasiswa yang telah wujud sekian lama di bumi USM ini. Tiada apa yang mustahil, EMAS PASTI MILIK TEKUN. USM, KAMI MEMIMPIN!

PUMP IT UP TEKUN

KETEKUNAN ASAS KEUNGGULAN

majlispenyerahanamanat2