Melakar Sejarah di USM - Hari Pendaftaran Siswa Baru 2011/2012

Hari yang mendebarkan, 6 September 2011 akhirnya tiba. Lebih 3000 siswa baru mendaftar di USM dan pada tahun ini Desasiswa Tekun mencatatkan jumlah penginapan siswa baru paling tinggi iaitu hampir 700 orang penghuni. Keletihan abang-abang dan kakak-kakak Pembimbing Program Siswa Lestari jelas kelitahan, namun mereka terus gigih berkhidmat untuk membantu adik-adik yang begitu bersemangat untuk melakar sejarah di USM.

 

Alhamdulillah, proses pendaftaran berjalan dengan lancar. Walaupun terdapat rungutan daripada sesetengah ibu-bapa yang kesal kerana tidak dapat membawa masuk kereta ke Kompleks Restu, Saujana & Tekun, namun, ia merupakan suatu perkara yang tidak dapat dielakkan dan kami memohon berbanyak kemaafan atas masalah ini. Kami berharap para ibu-bapa dapat memahami bahawa jalan di kompleks penginapan ini sangat sempit dan tempat meletak kenderaan pula sangat terhad. Bayangkan jika 1800 kereta memasuki kompleks ini yang hanya mempunyai 100 tempat meletak kereta sahaja! Lampu isyarat di simpang empat di luar kompleks ini pula agak perlahan. Untuk mengelakkan kekecewaan yang lebih buruk lagi, maka kami memutuskan untuk menguruskan sesi pendaftaran di dewan besar di hadapan kompleks ini dan menyediakan bas untuk mengangkut para penghuni dan keluarga. Kami juga menyediakan lori untuk mengangkut beg-beg besar yang diuruskan oleh abang-abang PPSL dengan bantuan Jabatan Pembangunan.

Tiga hari pertama sarat dengan taklimat. Ia merupakan agenda yang sangat penting bagi memudahkan kehidupan para siswa di USM. Dalam banyak-banyak program, rasanya Majlis Makan Malam Program Siswa Lestari 2011/2012 adalah paling menarik. Berbaju kurung, berbaju melayu lengkap dengan sampin songket dan tak kurang pula yang bergaya dengan kebaya tanpa mengira bangsa dan agama, suasana raya dan merdeka begitu dirasakan. Para penghuni baru Desasiswa Tekun sangat bertuah kerana pada tahun ini, Naib Canselor USM, Yang Berbahagia Profesor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak sudi meluangkan masa menghadiri majlis makan malam ini. Prof. Tan Sri memberikan sedikit kata-kata perangsang kepada para penghuni dan seterusnya menjamu selera bersama-sama. Selesai menikmati jamuan enak, beliau meluangkan masa menjenguk dari meja ke meja untuk berkenal mesra dengan para penghuni Desasiswa Tekun.

Berikut ialah sebahagian daripada rakaman lensa kami pada hari pendaftaran tersebut: