Kata aluan YDP MPDT sidang 2019/2020

Kata aluan YDP MPDT sidang 2019/2020

dp ydp

 

 

Assalammualaikum W. B. T dan salam sejahtera. 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana diberi ruang untuk berbicara sepatah dua kata dalam laman sesawang Desasiswa Tekun, Universiti Sains Malaysia. Terima kasih saya ucapkan kepada Penggawa Desasiwa Tekun, Prof Madya Dr Nazarudin Zainun, para penolong penggawa dan pihak pengurusan Desasiswa Tekun yang memberi saya kepercayaan untuk mengetuai organisasi ini. Tidak dilupakan, tahniah dan syabas kepada barisan kepimpinan Majlis Tertinggi, Exco dan Pembantu Exco yang telah dilantik secara rasmi sebagai ahli Majlis Penghuni Desasiswa Tekun, Sidang Akademik 2019/2020. 

Selama 15 tahun mengorak langkah, Majlis Penghuni Desasiswa Tekun (MPDT) semakin giat aktif dalam pengurusan desasiswa dan universiti. Pelbagai perubahan dan penambahbaikan dari sistem kepimpinan, kebajikan dan pengurusan pelajar serta kejayaan yang berlaku dalam tempoh ini. Saya berasa bangga atas kejayaan dan pencapaian yang diraihSebagai sebuah organisasi yang dikenali dan sentiasa menjadi perbualan di bibir mahasiswa Universiti Sains Malaysia, menyebabkan rasa tanggungjawab dan amanah untuk menjadi yang terbaik dalam kalangan yang terbaik. Selaras dengan visi MPDT iaitu sebagai sebuah organisasi yang terurus, berstruktur dan stabil dalam menguruskan hal-hal organisasi menjelang tahun 2020 hampir tercapai dengan kerahan tenaga dan usaha dari mantan-mantan ahli MPDT. 

Berbekalkan pengalaman dan pengetahuan yang saya perolehi, MPDT mengajar saya untuk sentiasa meningkatkan kemahiran asas dalam menguruskan organisasi serta komunikasi yang jelas antara ahli MPDT. Sidang ini, bersama-sama keluarga besar MPDT akan berusaha untuk menjaga kebajikan para penghuni dengan menyediakan kemudahan dan menambahbaik bilik-bilik fasiliti yang terdapat di Desasiswa Tekun. Malah, saya juga ingin menerapkan budaya kesepakatan dalam membuat keputusan dalam diri semua ahli MPDT. Harapan agar ahli MPDT akan memberi komitmen yang tinggi dan sentiasa bekerjasama membanting tulang menjaga kebajikan para penguni serta membina nama Desasiswa Tekun bukan sahaja dalam Universiti Sains Malaysia malah diperingkat kebangsaan dan antarabangsa pada masa hadapan. Selaras dengan moto MPDT iaitu “Menerajui Kepimpinan Masa Hadapan”, sedaya upaya saya terapkan rasa tanggungjawab yang berat ini dalam diri ahli MPDT. 

 Akhir kata, saya turut menyeru para penghuni Desasiswa Tekun untuk turut serta menyertai dan menyokong program-program yang dianjurkan oleh Majlis Penghuni Desasiswa Tekun  yang mampu memberi impak yang positif dalam diri anda. Sebarang masalah dan aduan yang terdapat di Desasiswa Tekun, haruslah disalur di saluran yang betul dan ahli MPDT turut menjadi salah satu platform untuk memudahkan urusan anda. Tidak dilupakan, sentiasa dapatkan info-info terkini dari Majlis Penghuni Desasiswa Tekun melalui laman media sosial kami iaitu FacebookMajlis Penghuni Desasiswa Tekun dan Instagram@mpdtekun.  

 

Sekian, terima kasih. 

“KETEKUNAN ASAS KEUNGGULAN” 

“Menerajui Kepimpinan Masa Hadapan” 

 

Yang diberi amanah, 

Nurina Afiqah binti Mohd Noor 
Yang Dipertua 
Majlis Penghuni Desasiswa Tekun 
Sidang Akademik 2019/2020 
Universiti Sains Malaysia