Sejarah Tekun

   

Desasiswa Tekun terletak bersama-sama dengan Desasiswa Restu dan Saujana. Desasiswa ini adalah antara desasiswa bongsu di Universiti Sains Malaysia. Mula beroperasi pada 11 November 2003. Desasiswa ini menerima penghuni pertamanya seramai 1083 orang pada tarikh tersebut.

Desasiswa ini adalah desasiswa pertama di Kompleks Restu, Tekun dan Saujana [RST] yang dibuka sebagai percubaan sebelum keseluruhan desasiswa di kompleks ini beroperasi sepenuhnya. Semasa tempoh percubaan ini semua urusan pentadbiran Desasiswa Tekun dijalankan sepenuhnya di pejabat sementara di Unit Perumahan dan Penginapan Universiti [UPPU], USM, yang bertempat di bangunan K09. Apabila tempoh percubaan tersebut tamat barulah semua urusan pentadbiran dan pengurusan Desasiswa Tekun dijalankan di pejabat Desasiswa Tekun sendiri.

Kompleks Desasiswa Restu, Tekun dan Saujana dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi ketika itu  iaitu, Yang Berhormat Dato’ Dr. Haji Shafie Haji Mohd. Salleh, pada 12 September 2004 bertepatan dengan sambutan ulangtahun Universiti Sains Malaysia yang ke-35. Majlis perasmian tersebut dijalankan di Dewan Utama Desasiswa [DUD] yang terletak di Kompleks RST pada jam 9.15 malam.

Desasiswa Tekun terdiri daripada dua buah blok asrama yang dapat menampung kapasiti penghuni seramai 1033 orang bagi setiap blok pada satu-satu masa. Ini bererti kapasiti penuh bagi kedua-dua blok asrama Desasiswa Tekun ialah seramai 2066 orang. Blok-blok asrama ini dikenali dengan nama Blok M05 atau Blok E dan M06 atau Blok F. Blok M05 menempatkan pelajar lelaki manakala blok M06 menempatkan penghuni wanita.

Desasiswa ini mempunyai keluasan 29,893.17 MPS. Kedua-dua bangunan asrama ini masing-masing dilengkapi dengan bilik-bilik kemudahan seperti bilik TV, bilik rekreasi, bilik bacaan, surau, bilik komputer, bilik dobi, pantri [water dispenser], bilik mengosok, serta bilik stor untuk menyimpan barangan pelajar terutama semasa cuti antrara semester. Berfungsi sebagai tempat penginapan pelajar, Desasiswa Tekun bukan sahaja menempatkan para pelajar ijazah pertama tetapi juga memempatkan pelajar ijazah tinggi dan pelajar kursus intensif bahasa dari luar negara. Selain dua buah blok tersebut terdapat sebuah lagi blok yang dikhususkan untuk pentadbiran Desasiswa Tekun iaitu Blok M09. Di blok ini ditempatkan pejabat Desasiswa Tekun dan Pejabat PETAS [Pelajar Tanpa Asrama]. Di blok ini juga terdapat bilik mesyuarat, bilik gerak kerja Majlis Perwakilan Desasiswa Tekun [MPDT] yang merupakan nadi kepada perjalanan dan pengurusan setiap aktiviti pelajar di Desasiswa Tekun.

Dari segi pengurusan, Desasiswa Tekun diketuai oleh seorang Penggawa dan empat orang Penolong Penggawa. Manakala segala urusan pentadbiran harian pejabat diketuai oleh seorang Penolong Pengurus Asrama Kanan [PPAK], seorang Penolong Pengurus Asrama [PPA], dua orang Pembantu Tadbir Perkeranian Operasi [PT/PO], dua orang Penyelia Asrama, tiga orang Pekerja Rendah Awam dan dua orang Pekerja Khidmat Singkat yang diupah bagi membantu kerja-kerja pertukangan di kedua-dua blok asrama.

Penggawa pertama yang mengetuai Desasiswa Tekun ialah Profesor Itam Sulaiman [1 November 2003 hingga 30 Oktober 2007]. Mulai Novermber 2007 hingga kini disandang oleh Dr. Nazarudin Zainun. Manakala Penolong Penggawa yang pernah berkhidmat di sini ialah Dr. Rohizani Yaakub [15 Mei 2004 – 1 Mac 2006], Dr. Noriah Mohamed [1 November 2003 – 29 Februari 2008], En. Zolkifli Yaakob [1 November 2003- 2009], Encik Mohd Zain Dollah [15 Ogos 2009 - 31 Mac 2013] dan Dr. Hasanah Abd. Khafidz [1 April 2008- 31 Jun 2013].

Sekarang terdapat empat orang Penolong Penggawa yang aktif iaitu Pn. Siti Hawa Mat Junoh, Encik Khairul Eruwan Abdul Halim, Dr. Sharifah Mashita Syed Mohamad dan Encik Mohd Jaya Mohd Johan. Manakala bagi felo pula, felo pertama adalah Dr. Nazarudin Zainun [15 Mac 2005 – 15 Mac 2006] diikuti Dr. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri [1 Mei 2006 – 9 disember 2007], Encik Helmi Samsudin [2008- 29 Februari 2013]. Jawatan Felo ini telah pun dimansuhkan pada tahun 2015.

Jawatan Penolong Pengurus Asrama pula dijawat oleh Cik Zuriana Kechek [11 November 2003 - 30 Jun 2009]. Pada Julai 2009, jawatan ini telah dijawat oleh Puan Siti Rukiah Abdul Hamid setelah dinaikan pangkat sebagai Penolong Pengurus Asrama Kanan N32 dan Cik Zuriana Kechek ditempatkan ke Desasiswa Bakti Permai . Setelah setahun pentadbiran diambil alih oleh Puan Siti Rukiah Abdul Hamid, pihak pengurusan tertinggi iaitu Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar mencadangkan untuk membuat penambahan kakitangan pejabat dengan jawatan Penolong Pengurus Asrama N27 bagi melancarkan lagi proses pengurusan di peringkat pentadbiran desasiswa. Oleh itu pada Februari 2011 Desasiswa Tekun telah menerima seorang lagi PPA iaitu Puan Nur Hidayah Ahmad Shukri.

Yang di Pertua [YDP] Majlis Penghuni Desasiswa Tekun yang pertama adalah Saudara Fakhrul Razi Sunip [Sidang Akademik 2004-2005] dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan. YDP kedua ialah Saudara Mohd. Hazrul Fareeza Harun [Sidang Akademik 2005-2006] dari Pusat Pengajian Sains Matematik. Bagi Sidang Akademik 2006-2007 jawatan YDP disandang oleh Saudara Jarfrulhizam Jaafar dari Pusat Pengajian Seni dan YDP bagi Sidang Akademik 2007-2008 ialah Saudara Muhammad Fakhri Shahtibi dari Pusat Pengajian Sains Fizik. Bagi Sidang Akademik 2008-2009 jawatan YDP disandang oleh Saudara Wan Mohd Fahmi Wan Mohd dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan. Bagi Sidang Akademik 2009-2010 jawatan YDP disandang oleh Saudara Mohd Hafiz Marzukhi dari Pusat Pengajian Komunikasi. Bagi Sidang Akademik 2010-2011  jawatan YDP telah disandang oleh Saudari Anis Muhayidin dari Pusat Pengajian Pengurusan.  Pada Sidang Akademik 2011-2012, Saudari Anis Muhayidin sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengetuai barisan kepimpinan Majlis Penghuni Desasiswa Tekun. Bagi Sidang Akademik 2012-2013, Saudara Mohamad Shafiq bin Kamaruddin telah diberi kepercayaan untuk mengetuai barisan kepimpinan Majlis Penghuni Desasiswa Tekun. Manakala bagi Sidang Akademik 2013-2014, jawatan YDP disandang oleh Saudara Hafiz dan terkini Saudara Imran telah dilantik menjadi YDP Tekun bagi Sidang Akademik 2014-2015. 

Sebagai tempat penginapan pelajar, desasiswa juga menjadi tempat penganjuran aktiviti-aktiviti pelajar. Di antara aktiviti yang pernah dijalankan adalah seperti Program Baktisiswa, Bengkel Akademik, Program Rekreasi di Bukit Hijau, Karnival TEKUN, Malam Penghargaan, Majlis Bacaan Yassin, Kenduri Sekampung dan Solat Hajat serta lain-lain aktiviti yang dijalankan pada setiap Sidang Akademik.

tekunpejabat3      tekunpejabat2