Sukad 1 & Sukad 2 Sidang 2013/2013

 

Sukan antara desasiswa atau lebih dikenali sebagai SUKAD adalah suatu kejohanan sukan yang melibatkan kesemua desasiswa seluruh USM termasuk kampus kesihatan, kampus kejuruteraan, dan kampus induk. Sukad yang menjadi salah satu acara rasmi dalam kalender USM, mempertandingkan lebih daripada 20 acara sukan yang di wakili oleh kesemua desasiswa USM.

SUKAD 1

Pada 1 hingga 3 Mac 2013 yang lalu. Sukad Fasa 1 telah dijalankan dengan jayanya di kampus induk USM. Sukad fasa 1 mempertandingkan acara badminton(L & W), bola sepak (L), Tenpin bowling (L & W),boling padang (L & W) dan bola keranjang (L). Desasiswa Tekun telah menghantar atlet-atlet yang hebat untuk bertanding dalam kesemua acara diatas. Mereka telah bertanding atas semangat kesukanan dan para atlet begitu bersemangat untuk menaikkan nama Desasiswa Tekun. Mereka telah berhempas pulas untuk memenangi acara yang dipertandingkan dan hasilnya untuk acara Tenpin bowling yang berlangsung di Sunshine Shopping Complex, pasukan Tenpin bowling (L) telah berjaya merangkul pingat emas! Pasukan ini telah membuktikan bahawa Desasiswa Tekun bukan calang-calang pasukan yang boleh dicabar dalam arena sukan. Berikut ialah keputusan-keputusan atlet Tekun dalam acara yang dipertandingkan sepanjang 3 hari kejohanan berlansung:

* Bola sepak - Suku akhir

* Boling padang wanita- Separuh akhir

* Boling padang lelaki - Separuh akhir

* Tenpin bowling lelaki- JOHAN

* Tenpin bowling wanita- Peringkat kumpulan

* Bola keranjang lelaki – Peringkat kumpulan

* Badminton lelaki - Suku akhir

* Badminton wanita – Peringkat kumpulan

Atlet-atlet kita telah membuktikan bahawa mereka adalah antara yang terbaik. Mereka telah mencurahkan segala keringat dalam acara yang diwakili. Seluruh penghuni Desasiswa Tekun amat berbangga dengan perjuangan mereka. Semoga atlet-atlet Tekun akan terus maju dan In Shaa Allah pada SUKAD sidang hadapan, mereka mampu membawa pulang gelaran johan. Berikut ialah sedikit gambaran atlet-atlet Tekun yang bertanding :

 

SUKAD 2

Pada 8 hingga 10 Mac 2013 yang lalu, SUKAD fasa 2 telah dilangsungkan di kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kelantan. Acara-acara yang dipertandingkan di SUKAD fasa 2 ialah seperti berikut :

* Futsal (W)

* Bola baling (L)

* Sepak takraw (L)

* Bola jaring (W)

Sekali lagi, Desasiswa Tekun telah menghantar atlet-atlet yang cukup hebat dan berwibawa ke Kelantan dengan harapan akan dapat merangkul pingat di Kampus Kesihatan. Atlet-atlet Tekun tidak pernah mengecewakan. Mereka telah menunjukkan semangat kesukanan yang sangat tinggi dan bertanding dengan memberikan sepenuh jiwa raga mereka dalam acara yang dipertandingkan. Turut bertanding di Kampus Kesihatan ialah pemantun-pemantun hebat Desasiswa Tekun yang bertanding dalam Pantun Antara Desasiswa (PADU). Mereka juga telah memberikan sepenuh komitmen mereka dalam pertandingan tersebut. Berikut ialah keputusan atlet-atlet Tekun dalam acara yang dipertandingkan:

* SEPAK TAKRAW- PINGAT PERAK

* BOLA JARING - GANGSA

* BOLA BALING (L) - SUKU AKHIR

* FUTSAL (W)-SUKU AKHIR

* PADU – SUKU AKHIR

‘Pergi dengan harapan, Pulang dengan kejayaan’ ternyata, usaha yang dicurahkan berbaloi apabila atlet-atlet Tekun mampu untuk mara ke peringkat yang lebih tinggi berbanding SUKAD siding lepas. Sesungguhnya, seluruh warga Desasiswa Tekun sangat berbangga dengan atlet-atlet dan pemantun-pemantun Tekun yang mengaum di Kampus Kesihatan. Berikut ialah sedikit gambaran SUKAD fasa 2:

 

Seluruh warga Desasiswa Tekun mengucapkan jutaan tahniah kepada kesemua atlet serta pemantun Tekun yang berjaya atau tidak membawa pingat. ‘Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’. Terima kasih daun keladi, sidang hadapan Tekun pasti menang lagi.

KETEKUNAN ASAS KEUNGGULAN.