Reunion Keluarga MPDT Sidang 2012/2013

 reunionkeluarga12

Pujangga pernah berkata, persaudaraan yang tidak jujur umpama meniti buih di lautan. Hamparan buih nan memutih, hanya indah di luaran namun melewatinya bererti menuju ke jurang kehancuran . Mencari saudara sejati bukanlah mudah, ramai yang bersama berkongsi suka, namun kurang juga yang ingin menemani kita meniti duka.

Inilah semangat yang disemai dalam keluarga besar Majlis Penghuni Desasiswa Tekun. Kami ibarat sebuah keluarga yang sentiasa memegang teguh pada tugas masing-masing dengan kerjasama berpasukan yang erat dan utuh agar segala projek yang dirancang dapat dijalankan dengan baik. Ibarat kata pepatah, bagai aur dan tebing, berat sama dipikul maka ringan sama dijinjing.

Majlis ini telah dihadiri oleh mantan YDP MPDT dan mantan Exco MPDT sidang akademik 10/11,11/12. Pertemuan tiga generasi MPDT ini membuktikan bahawa air yang dicincang tidak akan putus. Tiada yang tua maka tiadalah yang muda. Berpegang pada kata-kata itulah maka majlis pertemuan ini diadakan. Pertemuan ini bukan sahaja mampu mengikat kukuh tali persaudaraan antara kami malah ianya mampu menjadikan ikatan kekeluargaan ini semakin kuat dan terus unggul selaras dengan moto desasiswa Tekun, ‘Ketekunan Asas Keunggulan’.

Semoga dengan berakhirnya majlis pertemuan ini, ukhwah dalam kalangan keluarga MPDT sidang akademik 12/13 akan bertambah kuat dan kukuh. Bukan itu sahaja,harapan untuk melihat hubungan yang erat antara penghuni dan exco juga diharap dapat dipupuk supaya amanah dan tanggungjawab yang diberikan itu mampu dilaksanakan sebaik mungkin. Menjadi pemimpin itu ibarat kata sebelah kaki ke syurga dan sebelah kaki lagi ke neraka, tersilap langkah ke nerakalah kita tetapi jika amanah dan tanggungjawab itu dilaksanakan dengan ikhlas tanpa melihat balasan duniawi, in shaa Allah, balasan syurga pasti milik kita.


 Berikut ialah sedikit gambaran semasa hari kejadian:

KETEKUNAN ASAS KEUNGGULAN

 reunionkeluarga121