HELPING EVERYONE AND REACH OUT (HEAR OUT): MEMUPUK SEMANGAT KESUKARELAWANAN DAN KERJASAMA ANTARABANGSA
USM, PULAU PINANG, 4 Mac 2025 โ Program Helping Everyone And Reach Out (HEAR OUT) anjuran Majlis Penghuni Desasiswa Tekun (MPDT) yang berjalan bermula 18 hingga 28 Februari 2025 lalu telah melabuhkan tirainya dengan penuh kejayaan.
Program ini merupakan inisiatif kolaboratif antara Universitas Muhammadiyah Yogyakarta (UMY) dan universiti di Malaysia, termasuk Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
HEAR OUT dibahagikan kepada dua fasa utama, dengan Fasa 1 berlangsung pada 18 hingga 28 Februari 2025. Dalam fasa ini, delegasi UMY telah melawat UUM selama 6 hari sebelum meneruskan perjalanan ke USM bagi 4 hari terakhir. Manakala, Fasa 2 akan diadakan pada Ogos 2025 di Indonesia, di mana peserta akan menyertai Kuliah Kerja Nyata (KKN), satu program kesukarelawanan yang memberi fokus kepada pembangunan komuniti.
Di USM, program ini diisi dengan pelbagai aktiviti yang memberikan pengalaman bermakna kepada peserta. Antara pengisian utama ialah sesi diskusi bersama alumni dan Dekan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh(PPPJJ) mengenai keusahawanan siswa, lawatan akademik ke Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), serta Georgetown Heritage Tour yang membawa peserta meneroka sejarah dan budaya Pulau Pinang.
Selain itu, program ini turut menekankan aspek kesukarelawanan dan keprihatinan sosial melalui lawatan dan aktiviti di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK). Peserta berpeluang berinteraksi dengan komuniti istimewa ini, memahami cabaran yang mereka hadapi, serta menyumbang tenaga dalam aktiviti yang membantu pemulihan dan perkembangan mereka. Aktiviti seperti ini bukan sahaja memberikan pengalaman bermakna kepada peserta, tetapi juga memupuk nilai empati dan kesedaran sosial dalam kalangan mahasiswa.
Sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-4, iaitu Pendidikan Berkualiti, HEAR OUT membuka ruang kepada peserta untuk menimba ilmu di luar bilik kuliah, memperkasakan keusahawanan mahasiswa, serta membina kefahaman terhadap kepelbagaian budaya dan cabaran sosial. Selain itu, program ini turut menyokong SDG ke-17, Perkongsian Untuk Mencapai Matlamat, dengan memperkukuh hubungan akademik dan kemasyarakatan antara Malaysia dan Indonesia.
Pengarah projek, saudara Sharvin A/L Kumaran, menyatakan bahawa HEAR OUT bukan sekadar program pertukaran pelajar, tetapi satu platform untuk membina jalinan persahabatan, berkongsi ilmu, dan mencetuskan inspirasi untuk terus berbakti kepada masyarakat.
โProgram ini membuka mata kita semua bahawa ilmu tidak hanya diperoleh di dalam bilik kuliah, tetapi juga melalui pengalaman lapangan dan interaksi dengan pelbagai lapisan masyarakat. Kami berharap HEAR OUT menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kerjasama antara mahasiswa Malaysia dan Indonesia pada masa hadapan,โ katanya.
Dengan berakhirnya Fasa 1 di USM, para peserta kini menantikan Fasa 2 di Indonesia pada Ogos nanti, di mana mereka akan menyumbang tenaga dalam program pembangunan komuniti yang lebih meluas. Semoga HEAR OUT terus menjadi pemangkin kepada generasi mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berjiwa besar dalam memberi manfaat kepada masyarakat.
Teks : Sharvin A/L Kumaran, Pelajar tahun 1, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan
Foto : Sekretariat Helping Everyone and Reach Out (HEAR OUT)